Apa itu saham dan kenapa beli saham? (Mahersaham.com)

  Oleh: Lukman Haqim


Saham Adalah Pelaburan Untuk Menjana Keuntungan

 

Survey yang pernah di buat ramai tidak tahu apa itu saham.

Apabila ditanya tentang soalan ini, ramai akan jawab:

“TIDAK TAHU”
“Saham ini untuk orang kaya,”
“Buat rugi je”
“Orang biasa-biasa tak layak beli saham “

Ayat-ayat seperti yang di atas adalah lebih hampir kepada MITOS semata-mata.

Sebenarnya saham ini adalah satu pelaburan untuk menjana keuntungan.

Ia adalah satu bisnes (perniagaan).

 

Definisi Saham Sebenar

 

Dalam bahasa mudahnya “Saham adalah pegangan hak milik sesuatu syarikat dalam bentuk ekuiti.”

Di Malaysia, kebanyakan perniagaan adalah dijalankan oleh syarikat, selain daripada yang dijalankan oleh atas nama individu sahaja.

Saham boleh jadi dimiliki secara ‘private’ ataupun ‘public’. Saham yang boleh dimiliki oleh public atau orang ramai adalah syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Syarikat-syarikat ini adalah jenis Berhad.

 

Lihat Di Sekeliling Kita

 

Kita mungkin selalu isi minyak samada di PETRON ataupun PETRONAS.

Selain itu, kita gunakan tenaga elektrik dan setiap bulan kita kena bayar bil letrik kepada TNB.

Hampir rata-rata daripada kita ada ASTRO dekat rumah. Jika cerita bab kereta pula, ramai juga yang pakai kereta PROTON kalau bukan PERODUA.

Hakikatnya setiap hari kita ada berurusan atau menggunakan perkhidmatan dari syarikat-syarikat yang kita sebut di atas.

Tahukah kita bahawa syarikat-syarikat ini ada diniagakan di Bursa Malaysia?

Stesen minyak Petronas diuruskan oleh PETDAG (Petronas Dagangan) manakala stesen minyak PETRON ada kaitan dengan saham PETRONM.

ASTRO dan TENAGA (TNB) turut disenaraikan.

PROTON adalah produk oleh salah satu anak syarikat di bawah DRB-HICOM.

 

Saban Tahun Kos Sara Hidup Meningkat. Harga Barang Makin Mahal

 

Syarikat-syarikat yang kita sebutkan juga terpaksa menanggung kos yang semakin meningkat. Namun kos tersebut sedikit sebanyak terkesan kepada pengguna.

Kita mengeluh sebab susah bil letrik naik dan sebagainya. Syarikat-syarikat tersebut juga yang untung.

Namun, jika anda mempelajari saham, anda akan berhenti mengeluh.

Sebab anda tidak lagi sekadar menjadi pengguna. Anda juga sebenarnya adalah rakan kongsi syarikat yang turut menumpang kekayaan yang diperoleh oleh syarikat.

 

Apa Beza Perniagaan Biasa Dengan Saham?

 

Untuk lebih faham, kita bawakan penerangan tentang perniagaan dan apakah perbezaan atau persamaannya dengan saham.Contoh dalam gambar diatas, Hafiz seorang anak muda yang ingin berjaya. Beliau buka sebuah perniagaan iaitu RESTORAN HIPSTER.

Maka keuntungan yang Hafiz akan dapat adalah apabila ada orang datang masuk makan di kedai beliau.

Ini adalah konsep PERNIAGAAN secara umum, iaitu proses Jual Beli produk atau servis di antara pengguna dengan penjual.


Kita lihat pula syarikat A

Syarikat A adalah syarikat yang menjual peralatan dapur kepada pelanggan. Abu merupakan salah seorang pelanggan syarikat.

Abu sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Syarikat A. Abu ‘recommend’ dekat kawan-kawan untuk beli juga produk Syarikat A.

Pada asalnya syarikat A  diasaskan oleh Ali. Atas permintaan ramai, Ali berhasrat kembangkan perniagaan beliau.

Namun modal Ali tak mencukupi. Ali jemput Guna dan Lim untuk menyumbang modal dan sebagai balasan.

Ali memberikan sebahagian pemilikan Syarikat A kepada Guna dan Lim.

Secara rasminya Guna dan Lim adalah rakan kongsi kepada Ali.


Untung syarikat, sebahagiannya adalah untuk Guna dan Lim juga.
Duit nak bayar gaji staf – sebahagiannya  datang daripada modal yang dilaburkan oleh Guna dan Lim.


Keuntungan syarikat tidak semestinya diagihkan kesemuanya terus kepada para pelabur.

Ada sebahagian akan diagihkan dalam bentuk dividen, ada sebahagian digunapakai semula oleh syarikat untuk mengembangkan lagi syarikat bagi menjana keuntungan yang berlipat kali ganda lebih BESAR!


Syarikat juga kadang-kadang akan melaksanakan beberapa jenis ‘corporate exercise’ dalam usaha untuk memberi insentif kepada para pelabur.
Antaranya, bonus dan juga warrant.

Banyak lagi perkara dalam dunia saham yang kita perlu pelajari ke arah mencapai kebebasan kewangan melalui pendapatan pasif sebagai pelabur.

Adakah anda sudah bersedia?


Kelebihan Melabur Saham


1.Pilihan Di Tangan Ada

 

Tidak seperti memberikan wang anda kepada unit trust, ASB atau Tabung Haji untuk ‘fund manager’ atau pihak ketiga menguruskan pelaburan anda, anda sendiri boleh memilih saham atau syarikat mana yang anda hendak labur.

Anda mungkin boleh memilih dengan lebih teliti saham-saham yang patuh syariah berbanding yang tidak patuh syariah.

 

2.Cair, Mudah Dijual Beli

 

Jika anda membeli hartanah, rumah banglo misalnya. Jika suatu waktu nanti anda terdesak hendak perlukan duit, anda boleh putuskan untuk jual banglo tersebut.

Tapi sepantas mana anda boleh jual banglo tersebut?

Berbeza dengan saham, anda boleh jual saham anda hanya dengan menekan ‘mouse’ dan juga ‘keyboard’ anda.

Harga saham adalah harga pasaran, jelas dan terang untuk semua pelabur lain perhatikan.

 

3.Belajar Urus Bisnes Gaya Korporat

 

Ini sesuai sangat untuk orang bisnes.

Banyak kelas-kelas di luar sana yang cuba mengisi kekosongan ini.
Pemilik bisnes nak tahu bagaimana urus kewangan mereka, bagaimana struktur organisasi, apa strategi-strategi yang boleh digunapakai untuk kembangkan bisnes.

Selalunya mereka bayar mahal untuk akses ilmu tersebut.

Rupa-rupanya?

Semuanya ada dalam Annual Report untuk setiap syarikat yang diniagakan di Bursa Malaysia.

Anda boleh belajar dari CEO-CEO yang dah pun terbukti membawa syarikat mereka ke tahap yang lebih tinggi, iaitu disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

4.Boleh Dilakukan Secara Sambilan

 

Apa maksudnya?

Anda tak perlu monitor saham anda setiap masa.
Cukup mungkin sehari sekali atau beberapa kali seminggu.

Itu kalau anda melabur jangka masa panjang, dan sudah pun buat analisa yang mendalam terhadap syarikat yang anda hendak laburkan itu.

Inilah namanya pendapatan pasif.
Duit sendiri yang akan bekerja untuk anda!

 

5.Untung Dari Banyak Sudut

 

Atau dalam bahasa Inggeris kita panggil ‘Multiple Source of Income’.

Kenapa saya kata macam itu?

Sebab saham ini boleh menguntungkan kita melalui banyak cara.
Ada orang beli dan simpan, setiap tahun atau suku tahun akan dapat dividen sahaja.
Ada juga yang beli murah, saham naik, jual terus dapat untung.

Jadi banyak strategi, banyak peluang.

Cuma harapkan anda kreatif ataupun tidak sahaja.

 

Ok, Saya Dah Faham Kepentingan Melabur Saham. Next Step?

 

 1.Buka Akaun CDS

Anda nak buat urus jual beli online, anda gunakan akaun simpanan bank.
Kalau anda terima gaji atau nak transfer atau pindahkan duit kepada orang lain, biasanya melalui bank.

Dalam saham, kita juga perlu buka satu akaun khas yang dinamakan akaun CDS.

Akaun CDS ada banyak jenis, itu kita boleh baca dalam Jenis-jenis Akaun CDS
Untuk pendaftaran CDS Percuma, boleh Daftar Akaun CDS Percuma

 

2.Ketahui Kos-kos Yang Terlibat Dalam Saham

Dalam apa apa perniagaan sekalipun, kita mesti mengambil kira apakah kos-kos yang terlibat dalam jual beli saham.

Antara kos permulaan adalah kos buka akaun CDS, biasanya RM10.
Namun kos tersebut percuma jika buka dengan kami.

Kos-kos selepas ini yang perlu kita ambil tahu adalah brokerage fee, clearing fee, stamp duty.
Kos-kos ini diterangkan lebih lanjut dalam Kos-kos Jual Beli Saham.

 

3.Modal Pelaburan

Sesiapa yang selalu mengikuti sifu-sifu dalam perancangan kewangan, pasti tahu tentang istilah ’emergency fund’.

Macam ni.
Saham adalah pelaburan.
Seperti pelaburan yang lain, sebelum anda mula gunakan duit untuk dijadikan modal pelaburan, lebih baik anda menyimpan duit kecemasan iaitu dalam 3-6bulan gaji bulanan anda.

Duit lebihan itu barulah anda boleh gunakan dalam saham.

Tapi langsung tak boleh ke nak letak modal dalam akaun CDS?
Boleh tak letak modal kecil je?

Kita cuba kupas isu modal untuk pelaburan saham dalam Trade Saham Guna Modal Kecil.

 

4.Ketahui Jenis-jenis Analisa Saham

Kita dah ada akaun CDS, kita dah deposit duit kita ke dalam akaun CDS tersebut.

Sekarang ini, kaunter apa kita nak beli?

Sebelum kita nak beli saham, kita kena buat analisa saham terlebih dahulu.

Ada dua jenis analisa yang popular : Fundamental Analysis dan juga Technical Analysis.
Ketahui Beza Dua Jenis Analisa Saham di sini.

 

5.Sentiasa Gigih Berusaha Dan Berada Dalam Komuniti Saham

Saya ada tulis tentang pentingnya terus belajar dan berada dalam komuniti saham dalam artikel Penambahbaikan Untuk Kelas Saham Supertrader.

Jadi di bawah saya tulis sekali lagi.

Untuk anda berjaya dalam pasaran saham, nak atau tidak tuan puan kena tunjukkan kesungguhan juga, tidak belajar separuh jalan.
Tuan puan perlu berada dalam komuniti ‘like minded’ yang tahu kepentingan saham.


Kesimpulan

 

Pelaburan saham merupakan antara cara yang SANGAT memainkan peranan ke arah kebebasan kewangan.

Selain daripada itu juga, saham terbukti lebih mencelikkan kita tentang ekonomi atau perniagaan yang sedang dijalankan di sekeliling kita.

Untuk belajar saham, kita haruslah sanggup untuk sabar, tenang dan sentiasa meningkatkan skil dari masa ke semasa.

Tidak berputus asa.

Sebab suatu masa nanti, anda boleh wariskan ilmu dan kekayaan dari saham ini ke anak cucu anda!

Post a Comment

Previous Post Next Post