Kisah Luqman dirakamkan dalam al-Quran al-Karim kerana Allah telah meminjamkan sedikit hikmah kepada insan terpilih ini. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah? Hikmah adalah tindakan yang munasabah yang dilakukan pada masa yang munasabah, pada kadar yang munasabah dan kepada orang yang munasabah.
Sungguh cantik! Luqman menekankan empat aspek penting dalam diri anak-anaknya. Apakah yang dikatakan dengan empat perkara tersebut? Pertama, akidah, yang keduanya pula ibadah, kemudian akhlak diikuti dengan dakwah. Dalam ayat 12 dan 13 dari surah Luqman, kita dapat lihat, Luqman menekankan aspek akidah kepada anak-anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah. Luqman kemudian mengajar anak-anaknya tentang ibadah agar mendirikan solat serta menunaikan zakat.
Selain itu, Luqman turut menanamkan ‘currency dosa dan pahala’ dengan memberi perumpamaan yang sungguh menarik kepada anaknya. Setiap amalan akan dihisab walaupun sebesar biji sawi. Perumpamaan dosa sebesar biji sawi ini amatlah unik kerana mungkin pada fikiran anak-anak, apalah sangat dosa sebesar biji sawi? Tentu kecil dan boleh diperkecil-kecilkan. Remeh. Namun hal ini, di didik Luqman dengan bijaksana. Di mana sebesar biji sawi itu pun, seandainya disembunyikan di langit, di bumi mahupun di laut, ia tetap akan dihisab oleh Allah yang Maha Adil lagi Maha Teliti. Fenomena ‘currency dosa-pahala’ ini amat baik jika dapat dipupuk dari kecil dalam diri anak-anak kita. Bila tolong ummi, dapat pahala, dengar nasihat Abi, bertambah pahala, berkata bohong pula dibalas dosa, berkata jujur, berpahala.
Ibu bapa juga haruslah mempamerkan kemahiran komunikasi yang baik dengan anak-anak. Pendekatan kemahiran keibubapaan ini amat-amat digalakkan dalam Islam. Dalam surah Al-Luqman juga dapat kita lihat bagaimana Luqman menasihati anak-anaknya. Beliau memanggil anak-anaknya dengan panggilan yang baik, ‘ Wahai anak-anakku”. Begitu jualah yang disarankan kepada kita dalam mendidik, kita perlu menekankan aspek komunikasi yang berkesan. Ini tidak, kebanyakan ibu bapa pada hari ini, bila dikurniakan anak yang bijak dan banyak bertanya, dijawabnya dengan garang, ”Eh, jangan banyak tanya!” dan lebih dahsyat lagi ada juga jawapan “ DIAM!” atau “ SHUT UP”. Ketika itu kemahiran analisis anak mungkin saja terbantut dengan serta-merta. SHUT DOWN!
Salah satu cara untuk kita menjawab soalan-soalan pelbagai yang disoal adalah dengan memberi respon kepada anak-anak. Rata-rata ibu bapa memberi reaksi kepada soalan anak-anak, iaitu menjawab soalan anak-anak dengan jawapan yang dianggap logik dan boleh diterima akal si comel tersebut. Segelintir sahaja dari kita yang membalas soalan kritis anak-anak dengan memberi respon itu menjawab soalan anak-anak juga dengan soalan. Tindakan ini sebenarnya menggalak si kecil terus berfikir.
Terdapat lagi pilihan lain untuk si ibu atau bapa menjawab soalan yang pelbagai dari anak. misalnya, bila si ibu telah ketandusan idea untuk menjawab soalan yang dianggap satu soalan yang fakta. Contohnya, “Ummi, mengapa burung mempunyai sayap tidak seperti ikan?” atau “ Abi, mengapa dalam buah kelapa ada air?”. para ibu bapa harus bijak mengambil peluang keemasan ini dengan menjawab soalan-soalan itu dengan jawapan, “ITULAH INDAHNYA CIPTAAN ALLAH”. Jawapan ini tidak sewajarnya dilupakan kerana ia amat penting untuk kita menanam akidah dalam diri anak-anak bahwa kita semua adalah ciptaan Allah. Sekian. Happy Parenting!
Post a Comment