UCAPAN PENUTUP ASMUM 08/09
Muhammad Zulkamal Bin Safi`n
Yang Dipertua ASMUM 08/09
Assalamualaikum w.b.t, selamat sejahtera, moga sahabat sekalian sentiasa dalam rahmat Allah hendaknya.
Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis, Yang bahagia Dif-dif jemputan, Yang komited dalam tugas ahli eksekutif tertinggi ASMUM, exco kebajikan yang prihatin, exco sukan dan rekreasi yang penuh komited menyusun program menarik, exco akademik dan intelektual yang berjiwa besar, exco kenegaraan dan patriotic yang sentiasa istiqamah dalam gerak kerja serta seluruh warga kerja AGM 09 dan semua ahli keluarga besar ASMUM.
Sahabat sekalian,
Sekalung tahniah pertamanya buat Penggerak AGM ini yang diketuai oleh Pengarah, saudara Mujahid dan Hayati serta ahli jawatankuasanya. Ucapan sekalung penghargaan Khasnya buat Saudara Mukhlis selaku bekas Yang diPertua sementara ASMUM bersama Saudari Hamimah yang menjadi penggerak utama `penghidupan` kembali ASMUM setelah `lelap` seketika. Tanpa keringat mereka berurusan turun naik HEP, belum tentu saya berada hari ini menyampaikan ucapan yang saya kira, seolah ucapan penutup atau ucapan perpisahan dengan kalian semua. Semoga pertemuan dan perhimpunan kita buat kali akhir ini bakal mengeratkan lagi tautan persahabatan/ ukhwah antara kita semua di samping memperdalami kasih sayang sekaligus menjadi medan muhasabah untuk kita semua lebih maju ke hadapan. Moga-moga Allah S.W.T meredhai cita-cita dan hasrat mulia kita ini.
Alhamdulillah kerana ASMUM sekali lagi dapat mengadakan Mesyuarat Agung untuk membentangkan dan memperbahaskan perjalanan ASMUM setelah satu sesi kepimpinan 2008/2009 hampir kepada penamatnya. Seperti yang kita sedia maklum, yang hilang akan berganti, yang patah akan tumbuh kembali, dan seterusnya generasi baru akan meneruskan mandat perjuangan ini serta bakal melakar sejarah yang lebih gemilang buat ASMUM pada masa akan datang.
ASMUM cemerlang kembali
Kesedaran dan keprihatinan segolongan mahasiswa/I pada tahun 1974 dalam membangun dan menyumbangkan sedikit jasa kepada universiti telah mewujudkan ASMUM.Keprihatinan tentang betapa pentingnya ilmu dan kepimpinan mendorong ASMUM terus melangkah untuk mencapai matlamatnya.
Penubuhan ASMUM bukan sahaja untuk membantu fakulti dalam bidang keintelektualan semata-mata namun ianya juga berfungsi dalam menjaga kebajikan mahasiswa/I islam fakulti sains.Dengan tiga objektif utama, kebajikan, akademik dan kepimpinan, ASMUM 2008/2009 bermula dengan langkah baru dengan keanggotaan ahli lebih kurang 100 orang dan meningkat hampir 50 % selepas Minggu PROMO 09 baru-baru ini ,alhamdulillah.
Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang sesi 2008/2009,yang Alhamdulillah berjaya dilaksanakan antaranya Interaksi 08/09, Program bersama PASUM, Karnival Akademik 08 (KOSMIK), Kelas Fiqh Wanita (WIMAS) ,Jamuan Hari Raya , kutipan derma kebajikan, PROMO 09, Interaksi 09 dan pelbagai lagi. Perancangan rapi dipihak kita, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.Perancangan untuk mengadakan aktiviti seperti, khidmat bakti kerumah anak yatim, Kelas Saintis Serbaboleh (SKUAS 09), buddy system tidak mampu direalisasikan.Maaf saya pohon dan mungkin idea seumpama ini boleh dipertimbangkan untuk kepimpinan akan datang.
Generasi baru ASMUM
A.M Lothrop Staddard didalam The New World Of Islam (Ross & Perry, New Jersey, 2002) berkata, “ Kebangkitan Islam merupakan satu episod yang paling mengagumkan dalam sejarah manusia. Ia lahir di bumi yang tidak terkenal kemudian dalam jangka masa hanya satu abad ia berkembang sehingga menguasai separuh alam.Dalam proses itu, ia meruntuhkan empayar-empayar besar dan serentak dengan itu membentuk hati-hati manusia sehingga akhirnya berjaya menegakkan dunia baru iaitu dunia islam”. Begitulah kekagumannya seorang pengkaji Barat. Siapakah yang akan menggoncang dunia kalau bukan pemuda? Pemuda yang punyai jiwa kental, semangat tinggi dan perkataannya boleh diterima pakai bukan sekadar “ cakap tak serupa bikin”.
Islam pasti bangkit dengan kekuatan pemuda.Begitu jugalah hendaknya berlaku pada ASMUM.Pemilihan pemimpin yang berkaliber bakal mencorak masa depan yang gemilang buat ASMUM khususnya masyarakat fakulti Sains sendiri. Garapan dua ilmu penting yang Rasulullah SAW tinggalkan buat kita iaitu, traditional sciences, Hadith dan quranic sciences pasti kita gali untuk kita lebih maju kehadapan khususnya buat pimpinan dan ahli ASMUM. Maka persiaplah diri ini dengan ilmu dan kematangan sejati seorang pemuda dan pemudi Islam. Ada 3 perkara yang perlu kita titik beratkan untuk kita menjadi mata rantai perjuangan ini ..pertama keyakinan iman..Kedua ialah akhlak islamiyah dan ketiga ilmu pengetahuan. Tips ini saya petik dari buku Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang bertajuk Tazkirah buat pendakwah.
Teamwork dalam organisasi
Kerja berpasukan sangat perlu dalam organisasi besar seperti ASMUM. Seorang NAKhoda tidak mampu menggerakkan kapal yang dituju ke suatu tempat jika tiada pembantu-pembantunya yang komited dalam kerja serta taat kepada arahan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Juga pembantu yang sayangkan nakhoda yang akan memberikan Al-hikmah berupa nasihat dan teguran pada sang ketua bila terlanjur dalam melakukan sesuatu.
Terkadang dalam melayari kapal organisasi , ada juga pesauh yang ingin menjadi kapten kapal.Maka sang Kapten mestilah bijak dalam mengendalikan kisah seumpama ini.
Aisyah binti Abu Bakar berkata “ Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah menghendaki seorang pemimpin Negara itu menjadi baik, Allah menyediakan pembantu yang baik baginya.Apabila pemimpin itu lupa, pembantunya memperingatkannya. Apabila pemimpin itu ingat, pembantunya menolongnya.Apabila Allah mahu memberi perkara yang buruk pada pemimpin itu, Allah menyediakan pembantu yang jahat baginya.Apabila pemimpin itu lupa, pembantunya tidak suka memperingatkannya.Apabila pemimpin itu ingat, pembantu tidak suka menolongnya” diriwayatkan oleh abu Daud.
Begitulah peri penting pemilihan mereka yang akan bersama-sama belayar dalam bahtera organisasi ini. Pembantu yang baik akan sentiasa menjadi pelengkap pada kelemahan ketuanya serta cerminan diri dan pendorong semangat dikala kesedihan.
Amanah yang berat tetapi bernilai tinggi
Ketika Nabi SAW melalui isra` mi`raj lalu baginda disaksikan dengan pelbagai gambaran yang sememangnya kena dengan kehidupan kita.Salah satunya , baginda dipertayangkan seorang manusia yang memikul kayu api ..lalu kayu api itu ditambah lagi dan terus ditambah lagi walaupun pada hakikatnya manusia itu tidak mampu memikulnya, lalu nabi SAW bertanyakan kepada malaikat, lalu dijawabnya itulah orang yang tidak puas dengan amanah atau jawatan dan terus menambahnya walaupun dia tidak mampu untuk memikulnya.
Begitulah gambaran betapa besar dan beratnya amanah apabila dipikul oleh seseorang dan harapan saya moga ianya bakal dipikul dengan penuh sungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab.
ASMUM pasti terus cemerlang
Jadilah kita semua seumpama pohon kelapa di pesisir pantai, ditiup angin kuat walau badai sekalipun ia tetap teguh berdiri mengikut angin, lalu dihadiahkan buah kelapa kepada tuannya.Dengan maksud jadilah mereka yang berdiri teguh dengan prinsip tapi tidak jua mengabaikan keadaan persekitaran lalu dia memberikan kebaikan kepada yang lain walaupun dengan hanya sedikit kebaikan. Jangan jadi seumpama lalang, yang megah ia dengan ketinggian, dan ingin mengatasi yang lain lalu ia angkuh dengan setiap kebesaran dan kenikmatan sementara yang diberikan Allah.
Dalam bersama-sama belayar menuju satu matlamat, maka sering kali kita akan dilambung ombak. Kritikan dari luar jangan sekali kali melemahkan kita. Kritikan dari dalam juga perlu untuk memperingatkan sesama kita.Namun akhlak menegur perlu dijaga agar keharmonian berorganisasi sentiasa terpelihara. Kadang-kadang seringkali kita merungut ditengah hari apabila Allah menghantar hujan dan petir kerana ianya membasahkan baju di jemuran dan terkadang banjir kilat melanda, namun percayalah Allah menghadiahkan suatu pemandangan indah iaitu Pelangi. Begitu juga dengan kehidupan.Allah datangkan cubaan untuk memberi pelajaran pada kita.Allah menguji hambanya pada titik-titik kelemahan orang itu. Maka jangan kesal..sesungguhnya ada pengajaran dan kebaikan disebaliknya.
Ramadhan yang dinantikan
Akhir sekali, Bulan Al-Barakah ini memberikan peluang untuk kita bersama meningkatkan amal yang sebelum ini kita cuaikan. Dalam kesempatan inilah, maka kita bersama menggandakan amalan kebajikan seumpama sedekah, solat dan sebagainya moga-moga kita keluar dari university ramadhan ini kita diberi ijazah `taqwa`.
Dengan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada adik beradik sekalian agar dapat menjayakan majlis ini selaras dengan objekif pelaksanaan AGM 09’ ini. Marilah sama-sama kita memberikan sokongan dan komitmen sepenuhnya dalam proses pertukaran pimpinan.
Berlapang dada dan redho untuk menerima dan memberi kerjasama kepada pimpinan baru yang akan dilantik.Ia amat penting ,moga transisi yang bakal berlaku akan memberi sesuatu yang lebih baik untuk persatuan kita ini.Gunalah kuasa undi yang ada ditangan saudara saudari sekalian sebaik mungkin dalam memilih pimpinan baru.
Akhir kalam, saya pohonkan kemaafan sungguh-sungguh kepada sahabat sekalian terhadap janji yang tidak dikota, terhadap kata yang mengguris jiwa, terhadap sindiran yang menyakitkan.Tiada niat untuk saya melukai hati sesiapa.Insyaallah, kami barisan pimpinan lama akan terus menyokong teguh dibelakang kepimpinan akan datang dan kami juga bersedia untuk memberikan apa sahaja yang termampu.
Juga mohon ribuan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua tenaga penggerak AGM 09’ atas segala komitmen dan kesungguhan yang dicurahkan dalam memastikan kelancaran AGM 09’. Semoga segala usaha ini diberkati Allah.
Buat akhirnya saya hadiahkan 2 rangkap pantun buat pimpinan-pimpinan yang akan tamat tempoh perkhidmatannya dan untuk yang bakal dipilih selepas ini:Pantunnya berbunyi :
Penat sudah pimpinan berkerja,
Membanting tulang memerah idea,
Moga jasanya tidak dilupa,
Pahala berterusan membawa ke syurga.
Yang lama turun berganti yang baru,
Tugasan berat terpahat dibahu,
Jiwa kental idea baru,
ASMUM PASTI MENJADI PENERAJU.
Buat akhirnya... Yang jauh dengan kita, kita dekat-dekat kan, yang dekat kita mesra-mesrakan, yang mesra kita serasi-serasikan.
Sekian,Wabillahittaufik walhidayah wassalamualaikum., terima kasih.
Post a Comment